Monday, November 3, 2008

Waktu-waktu diharamkan Sembahyang

Sebagai mana dijelaskan oleh para ulama feqh berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa waktu-waktu tertentu yang ditegah melakukan sembahyang adalah seperti berikut:

1. Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyemai dengan lapan belas inci.

2. Waktu Istiwa iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga gelincir matahari atau condong ke bawah. (Kecuali waktu istiwa pada hari Jumaat)

3. Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk.

Ketiga-tiga waktu ini ada disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani katanya yang maksudnya :
“Tiga waktu yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami bersembahyang dan mengkebumikan mayat, iatu ketika matahari naik sehingga tinggi, ketika matahari tegak (terpacak) sehingga gelincir dan ketika matahari hampir terbenam sehingga ia terbenam”
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Hadis di atas melarang bersembahyang dan mengkebumikan mayat pada ketiga-tiga waktu berkekenaan.
4. Selepas sembahyang fardhu Subuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari.
5. Selepas sembahyang fardhu ‘Asar sehingga terbenamnya matahari.
Diterangkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri yang mengatakan bahawa dia telah mendengar Rasulullah Sahallalahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Tidak ada sembahyang selepas Subuh sehingga terbit matahari dan tidak ada sembahyang selepas Asar sehinggalah matahari terbenam”.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

No comments: