Monday, April 27, 2009

Syarif Ali penyebar Islam dan Sultan Brunei

SYARIF Ali Bilfaqih diriwayatkan adalah berasal dari keturunan Saiyidina Hasan bin Ali, bererti beliau adalah zuriat Nabi Muhammad s.a.w. melalui perkahwinan Saiyidatina Fatimah az-Zahra dengan Saiyidina Ali.

Diriwayatkan pula bahawa Syarif Ali atau nama lain Syarif Ali Mufaqih Muqaddam adalah berasal dari Taif (Arab) dan tiba di Brunei sekitar tahun 1370 M, nama ayah Syarif Ali ialah Saiyid Abdul Qadir, salah seorang keturunan Saiyidi Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Quthub yang sangat terkenal. Secara garis besarnya pula masih bertikaian pendapat apakah Syarif Ali itu keturunan Saiyidina Hasan atau pun keturunan Saiyidina Husein.
Jika benar Syarif Ali itu keturunan Saiyid Syeikh Abdul Qadir al-Jilani jelaslah beliau keturunan Saiyidina Hasan bin Ali bin Abi Talib kerana nasab Saiyid Syeikh Abdul Qadir al-Jilani adalah kepada Saiyidina Hasan bukan Saiyidina Husein.

Namun masih diragukan kerana sebahagian penyebar Islam yang datang ke Asia Tenggara termasuk Maulana Malik Ibrahim yang dikatakan ada hubungan kekeluargaan dengan Syarif Ali adalah keturunan Saiyidina Husein bukan keturunan Saiyidina Hasan. Ini kerana jika benar bahawa Syarif Ali ada hubungan kekeluargaan dengan Maulana Malik Ibrahim bererti ada hubungan pula dengan ulama-ulama Fathani Darus Salam yang kemudian melanjutkan penyebaran Islam ke Cam, selanjutnya ke Jawa dan tempat-tempat lain di Asia Tenggara. Sezaman dengan Syarif Ali di Brunei itu, ada seorang ulama Patani ke Brunei, iaitu Wan Nik.
Nama ini adalah nama gelar sewaktu beliau masih di Patani. Beliau ini pergi menyebarkan Islam ke Brunei.Walau bagaimana nama Wan Nik al-Fathani tidak pernah ditulis baik penulis-penulis Brunei atau pun ahli sejarah lainnya. Boleh jadi sewaktu di Brunei, Wan Nik tidak menggunakan gelaran nama itu, tetapi memakai nama asli. Adik-beradik Wan Nik al-Fathani adalah 11 orang.
Di antaranya ialah Saiyid Jamaluddin al-Kubra, yang wafat di Tuwajok, Bugis. Beliau adalah datuk bagi Maulana Malik Ibrahim. Jadi menurut sejarah versi Patani ini berertilah Wan Nik al-Fathani itu datuk saudara bagi Maulana Malik Ibrahim.

Hubungan penyebaran Islam antara Fathani Darus Salam dengan Brunei terjalin sejak lama, dalam Hikayat Tuan Wali Allah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, “Dan lagi Raja Brunai itu jadi dua beradik dengan bapak Tok Nyang Syeikh Abdur Rahman itu, Wallahu a’lam…”
Yang dimaksudkan “… bapak Tok Nyang Syeikh…” pada kalimat ialah Syeikh Abdul Mubin al-Fathani. Namun, perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik-beradik sebelah laki-laki atau pun dari adik-beradik perempuan, yang dimaksudkan hingga terjadi “dua beradik…” seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.
Kemungkinan catatan pada hikayat tersebut keliru atau pun tersalah salin. Kemungkinan yang dimaksudkan dengan perkataan “dua beradik…” itu ialah Syarif Ali yang ternyata menjadi Sultan Brunei ketiga itu memang adik-beradik dengan Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani, Saiyid Jamaluddin al-Kubra, Wan Nik al-Fathani, dan lain-lain atau “dua beradik…” dalam istilah yang lain, ialah dua riwayat di bawah ini:

Petikan dari Habib Alwi bin Thahir Al-Hadad, “Keterangan-keterangan daripada dokumen-dokumen Mindanao menunjukkan bahwa pada tahun 880 H (1475 M) telah datang Syarif Ali dan dua orang saudaranya dari Mekah. Ali menjadi raja yang pertama di Mindanau, saudaranya yang kedua menjadi sultan di Brunei, dan yang ketiga menjadi sultan di Maluku”.
Walaupun dari segi tahun dan terdapat kelemahan-kelemahan lain, kalimat di atas sukar diterima namun masih dapat diambil kira untuk penyelidikan, terutama sekali perkataannya “… dan yang ketiga menjadi sultan di Maluku.”
Kemungkinan yang dimaksudkan dengan Maluku itu ialah Ternate. Sultan Ternate itu di antaranya ialah Sultan Babullah iaitu adik-beradik dengan Syarif Hidayatullah/Sunan Gunung Jati di Betawi, Banten dan Cerebon.
Ayah kedua-duanya adalah Saiyid ‘Umdatuddin Sultan Cam di Kemboja. Ayahnya ialah Ali Nur Alam yang sebelum ke Cam memperoleh beberapa orang anak di Patani. Ali Nur Alam anak Saiyid Jamaluddin al-Kubra. Oleh sebab Wan Nik al-Fathani yang mengembara ke Brunei adalah adik bongsu Saiyid Jamaluddin al-Kubra maka berertilah Sultan Babullah di Ternate (Maluku) dan Syarif Hidayatullah di Cerebon (Jawa Barat) adalah cucu saudara Wan Nik al-Fathani yang ke Brunei itu.
Sekiranya betul tulisan Habib Alwi al-Hadad di atas, bahawa yang menjadi raja di Brunei adalah adik-beradik dengan Sultan Babullah di Ternate (Maluku), bererti raja Brunei itu cucu saudara Wan Nik al-Fathani yang tersebut itu. Wallahhu a’lam.
Aktiviti dan dilantik sebagai Sultan Brunei
Dipercayai Syarif Ali adalah seorang ulama, tujuan pengembaraannya ialah menyebarkan agama Islam. Di Brunei, dari aktivitinya mengajar masyarakat awam akhirnya dapat mempengaruhi pemimpin-pemimpin kerajaan Brunei sehingga Syarif Ali diambil jadi menantu oleh Sultan Ahmad (Sultan Brunei yang kedua). Sultan Ahmad mangkat, sekitar tahun 1425 M, para pembesar dan rakyat Brunei sepakat menabalkan Syarif Ali sebagai Sultan Brunei(Sultan Brunei yang ketiga).
Selanjutnya beliau digelar Sultan Berkat. Sebagai seorang ulama, setelah menjadi sultan, beliau menjadi contoh sebagai insanul kamil bagi masyarakat Brunei. Beberapa penulis sejarah Brunei merakamkan, “Maka Syarif Ali inilah mendirikan agama Islam dan mengeraskan syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. di Brunei dan membina masjid-masjid.”
Menurut riwayat, sebelum Syarif Ali menjadi sultan, sultan-sultan yang terdahulu belum mendirikan masjid. Diriwayatkan pula bahawa Syarif Ali selain sebagai seorang sultan, beliau sendiri menjadi imam sembahyang fardu, sembahyang Jumaat, dan menjadi khatib hari Jumaat dan kedua-dua hari raya.
Ini bererti dirinya sebagai seorang ulama, imam dan sultan mesra menyatu, bersepadu dan tertanam kasih sayang ke seluruh lubuk hati masyarakat yang beragama Islam.
Sahabat dan ulama yang sezaman dengan beliau di Brunei
Selain Syarif Ali dipercayai ramai lagi penyebar Islam yang sezaman dengannya yang menyebarkan Islam di Brunei. Oleh sebab mereka hidup sezaman dan sasaran penyebaran di tempat yang sama, maka kita anggap saja mereka adalah bersahabat. Di antara mereka yang dapat disenaraikan ialah sebagai yang berikut:
1. Saiyid Alwi al-Faqih Muqaddam
2. Syeikh Adam
3. Syeikh Sulaiman bin Abdur Rahman
4. Saiyid Abu Bakar
5. Saiyid Hasan al-Hadad
Wafat dan keturunan
Sultan Syarif Ali, wafat pada tahun 1432 Masihi, demikian yang tertulis dalam beberapa buku sejarah karangan baru. Tahun 1432 itu berasal dari tulisan batu nisan yang transliterasinya; “Dari Hijrah Nabi s.a.w. delapan ratus tiga puluh enam tahun, dalam bulan Jamadilawal, malam Khamis, wafat pada hari Ali berpindah dari dunia ke akhirat…”
Hasil perkahwinan Syarif Ali dengan Puteri Sultan Brunei, beliau memperoleh anak bernama Sulaiman, yang selanjutnya menjadi Sultan Brunei pengganti ayahnya Sultan Syarif Ali, Sultan Brunei yang ketiga itu.
Dari sini pula selanjutnya menurunkan sultan-sultan Brunei Darussalam dan Sultan- Sultan Sambas (Kalimantan Barat, Indonesia) secara bersalasilah menurun dari atas ke bawah bersambung tanpa putusnya. Nama-nama yang dapat disebutkan ialah: Sultan Sulaiman memperoleh putera Sultan Bolkiah. Sultan Bolkiah memperoleh putera bernama Sultan Abdul Kahar. Sultan Abdul Kahar (mangkat 1571 M) memperoleh putera tiga orang, iaitu;
1. Sultan Syah Berunai
2. Sultan Muhammad Hasan
3. Raja Dungu Sultan Muhammad Hasan (nombor dua) memperoleh putera tiga orang, iaitu;
1. Sultan Tengah
2. Sultan Abdul Jalilul Akbar
3. Sultan Muhammad Ali
Sultan Tengah (nombor satu) itulah yang kahwin dengan Ratu Suria (Sambas), memperoleh putera Sultan Muhammad Shafiyuddin, Sultan Sambas. Ada pun Sultan Abdul Jalilul Akbar (nombor dua) dan Sultan Muhammad Ali (nombor tiga)
keturunannyalah yang menjadi sultan-sultan Brunei Darussalam.